Isnin, 26 Januari 2009

BICARA SECAWAN KOPI: BENARKAH SEPERTI YANG DITULISKAN SALAH SEBUAH SURATKHABAR DIMALAYSIA... FIKIRKANLAH DAN HAYATILAH.

Pedoman: Umat Islam kini malas berusaha
(petikan dari suratkhabar Harian Metro Malaysia - 27 Januari 2009)

SATU daripada tuntutan dalam syariat Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT ke atas umat-Nya ialah anjuran supaya berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki halal selain kejayaan di dunia ini.Masalah utama umat Islam zaman ini ialah gemar meminta-minta tetapi malas untuk berusaha demi kebaikan semua.

Akibatnya, berlaku banyak peristiwa yang membawa kehancuran serta kerugian kepada dunia Islam, seperti kekurangan profesional dalam bidang sains.Dalam masa sama, seteru Islam mengambil kesempatan atas sikap malas umat Islam dan akibatnya, banyak perkara dalam pelbagai bidang yang dikuasai generasi lalu dalam zaman keagungan Islam gagal dicapai umat Islam hari ini.Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasul-Nya serta orang yang beriman dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At-Taubat ayat 105)Ayat di atas jelas menunjukkan kepada umat Islam supaya sentiasa berusaha dan bekerja, selain menyeru manusia menunjukkan kesungguhan dalam hidup bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW melarang umatnya untuk hidup meminta-minta. Sabda baginda: “Sesungguhnya salah seorang kamu mengambil seutas tali, lalu dibawa bersama sejumlah kayu yang diikat itu di atas bahunya. Lalu ia menjualnya, maka Allah SWT akan menutup wajahnya (tidak mengaibkannya) lebih baik baginya daripada hidup meminta-minta sama ada mereka memberinya atau tidak.”Selain kekurangan dalam bidang berteknologi tinggi, segelintir umat Islam hari ini tidak kisah bagaimana mereka mendapatkan rezeki tanpa mengira sama ada ia mendatangkan keberkatan selain keredaan daripada Allah SWT.Hakikatnya, ada juga yang tamak dan lupa diri apabila berjaya hingga menyisihkan mereka yang memerlukan bantuan seperti zakat dan sebagainya.Bagi memastikan usaha selain kerja yang kita laksanakan mendapat keredaan selain keberkatan, beberapa langkah perlu diambil iaitu niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan memastikan kerja yang dilaksanakan tidak bertentangan dengan syariat Islam.Langkah lain yang perlu dilakukan ialah hendaklah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau kerja yang diamanahkan, tidak meninggalkan tanggungjawab wajib kepada Allah SWT seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, penjagaan aurat dan akhlak.Menyerahkan segala urusan selepas usaha dilakukan hanya kepada Allah SWT dan yakinlah semua usaha serta kerja yang dilakukan pasti mendapat balasan setimpal kerana Allah maha adil serta saksama.Sabda Rasullullah SAW: “Jikalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang keluar di waktu dinihari dalam keadaan lapar dan pulang dalam keadaan perut berisi.”
Jika benar... kita haruslah berusaha dengan segigihnya, dan mungkin kerana inilah juga kenapa musuh - musuh islam sering mengambil kesempatan dari kelemah kita ini. Dan seperti yang kita dengar, pada masa ini banyak umat islam yang menjadi murtad hanya kerana kemiskinan yang mereka hadapi, dan musuh - musuh islam mengambil kesempatan dengan memberikan kemewahan kepada mereka dan kerana kesilapan kita itulah kita sanggup menukar ugama. Jadi fikirkanlah dan sesungguhnya kita harus ingat, jika kita malas untuk berusaha maka kehidupan kita tidak akan pernah berubah, dan jika kita hanya mengharap kehidupan kita melalui pemberian belas ihsan dari orang maka selagi itulah juga kehidupan kita tidak akan pernah berubah dan selama itulah juga kita akan terus susah. Banyak cara untuk kita berusaha mengubah nasib kita, tapi terpulanglah kepada kita untuk memikirkan apakah usaha kita selanjutnya untuk mengubah nasib kita. Sampai bila kita harus meminta-minta untuk mengubah nasib kita? Dan sampai bila kita akan terus diberikan simpati? FIkirkanlah sebaiknya....

0 ulasan: