Selasa, 23 Disember 2008

BIAR AKU REDAKAN DULU API YANG SEDANG MENYALA PANAS INI.....

Dalam keadaan api yang sedang marak menyala, bukan terlalu mudah untuk memadamkannya, tambah lagi hembusan angin semakin kuat menghembus, membuatkan api terus marak menyala. Biar disirami dengan air sekalipun, kerana angin terus berhembus kencang, api semakin juga terus menyala.
Bukan bermaksud untuk menjadi derhaka, apa tah lagi hanya dia seorang saja lagi orang tua yang tinggal selepas pemergian bonda, namun hati masih belum sembuh lagi sakitnya selepas kejadian tempoh hari. Biarlah tohmahan terus ditujukan kepada ku. kerana diri pun sudah terbiasa dengan tohmahan dan cacian. Dari jauh hanya doa saja yang dapat aku kirimkan agar ayahanda tersayang akan cepat sembuh. Aku bukanlah seorang anak yang begitu baik dalam keluarga, yang sememangnya pada anggapan dan penilaian semua orang terlalu buruk.
Bukan berubah kerana sudah ada insan disisi, tempat untuk berunding dan berbicara tentang masalah, namun sentiasa terkilan kerana diri terus tidak baik pada pandangan orang yang tersayang. Untuk berubah harus bagaimana lagi? Sering aku berfikir betulkah aku ini sukar untuk ditegur, bila ditegur akan mula melenting seperti mana yang diungkit olehnya tempoh hari? Bagi aku sudah sering mengikut apa pun telunjuk dari mereka, kadang terasa ruang untuk bernafas terlalu sempit, hanya kerana terlalu mengikut telunjuk mereka.
Bila aku melenting kerana ingin memperbetulkan apa mereka kata, segala ungkitan dijadikan senjata mereka untuk melumpuhkan diri, segala yang terburuk terdedah, namun pernahkah disingkap akan diri yang merasakan dirinya lebih sempurna dan terlalu baik itu betulkah 100% sudah terlalu baik dan sempurna.
Kadang kita terlupa untuk menilai sedalamnya tentang perihal diri kita. Kita sering menganggap kita sempurna, hanya kita ini mampu dari orang lain, sehinggakan kita tidak perlu untuk ditegur. Namun untuk menilai kesilapan pada diri orang lain terlalu mudah saja, setiap pergerakkan yang dibuat oleh orang tersebut pastinya akan terus diekori, namun untuk cuba memperbetulkan jauh sekali.
Hati mana yang tidak terus menjadi gila bila teguran yang diberikan bukan berunsurkan satu nasihat yang membina sebaliknya kata nista yang merasakan diri terhina. Berbicara dalam diplomasi tidakkan mungkin akan mendatangkan kemarahan, biar beradab sopan. Jangan menganggap bila diri dilahirkan tua dari orang lain, akan sesuka hati untuk memerintah dan mengherdik orang terlalu muda, berfikir juga lah sedikit, kita ini pun punya hati dan perasaan. Sedangkan binatang punya perasaan, bila sudah puas diherdik dipukul tuan yang setiap hari memberi makan pun akan dicederakan, inikan pula manusia yang mempunyai perasaan dan akal, yang mudah tersentuh.
Biarlah aku dengan diri ku sektika pada saat ini, katalah apa saja yang ingin kamu kata pada ku aku akan terimanya, kerana itu mungkin yang amat terbaik untuk kamu luahkan buat diri ku. Buat ayahanda, bukan kerana tidak kasih makanya wajah tidak dijengukkan apa tah lagi dikala ini ayahanda sedang sakit, jauh disudut hati ingin melupakan semuanya , namun setiap kali kaki melangkah untuk pergi kesana meninjau ayahanda, hati akan berteriak meronta-ronta seolah menghalang untuk kesana, fikiran akan bercelaru mengenang kata nista ungkitan yang diberikan, beribu cara untuk merubah diri dari terus berperangai begini, namun dijiwa meronta kerana sudah puas diherdik, biarlah aku terus begini dulu. Biarkanlah reda dulu apa yang sedang menyala ini, biar semuanya berkedaan baik, insyaAllah aku pasti akan menjengah kesana berjumpa ayahanda.
Bukan sudah tiada kasih hanya kerana kasih baru kini ku terima, setiap hari hati begejolak dan meronta kesakitan kerana merindui ayahanda, entah berapa kerap sudah kejantanan ini tercabar dengan deraian airmata yang tak pernah putusnya, sesungguh aku tiada mahu kekesalan menghantui diri ku lagi, maafkan diri ini ayahanda. Izinkanlah aku bersendirian ketika ini, biarlah aku redakan kepanasan yang sedang membara ini, mungkin esuk aku akan berubah bersama datangnya mentari pagi.
Salam sayang ku buat ayahanda yang tercinta dan seribu kemaafan ku pohon dari mu, keampunan mu adalah seri pada kehidupan ku, tanpanya hidup akan terus menderita selamanya. Sayang selalu dari anakanda......

0 ulasan: