Membaca dari topik yang aku tuliskan diatas , mungkin awda akan tertanya-tanya apa betul ke tidak dengan apa yang aku tuliskan ini. Jangan risau itu sememangnya betul, memang itu yang aku tuliskan untuk topik kali ini. Bukan kerana ketandusan idea, namun iaya adalah lahir dari cerita semasa yang aku dengar, selain daripada itu juga untuk mengingatkan diri ku, justeru untuk itu agar aku tidak terlalai.
Kita hidup dalam lingkungan masyarakat yang pelbagai ragam dan kerenah kehidupannya, dan dalam kita hidup dalam kelompok masyarakat yang pelbagai ragam ini, sememangnya banyak memerlukan kesabaran pada diri kita. Banyak perkara yang kita pelajari dalam hidup bermasyarakat, dan mungkin barangkali jika kita hanya hidup bersendirian jauh dari kehidupan bermasyarakat itu tidak akan mendatangkan apa - apa dalam kehidupan kita. Dalam kehidupan kita seharian, kita akan berdepan dengan berbagai jenis kerenah dan perangai manusia. Dirumah kita akan berhadapan dengan kerenah mereka yang begitu rapat dengan kita iaitu keluarga kita, sementara diluar daripada rumah kita kita akan berhadapan dengan rakan - rakan kita. Dan semua mereka ini ada dengan kerenah dan perangainya masing - masing, cuma bagi kita adalah bagaimana cara kita untuk menyesuaikan gaya hidup mereka itu dengasn cara kita.
Kita selalu terlupa, dan ini yang sering saya ingatkan pada diri saya, kita selalu mengingatkan diri kita agar kita patuh pada suruhan Tuhan, iaitu dengan menunaikan kewajiban yang telah disuruh untuk kita mengerjakannya. Ianya kita tunaikan dan kita sering teringat apa yang manjadi larangan kita tinggalkan, dan segala apa yang kita lakukan itu adalah semata - mata kita mengharapkan balasan daripada NYA kelak. Namun apa yang ingin saya kupas disini adalah sebilangan daripada kita, ibadat dan hubungan sesama manusia itu ditunaikan, namun hubungan sesama manusia kita kadang - kadang letakkan ia terlalu jauh.
Kita mungkin menganggap bahawa hubungan sesama insan itu tidak besar fungsinya dan mungkin ada yang menganggap ianya cumalah biasa sahaja. Namun jika lihat pada ketentuan hukum ugama sendiri, menegaskan bahawa hubungan sesama insan ini memainkan peranan penting dalam kehidupan kita setiap masa dan malah ianya memainkan peranan bagi perjalanan kita diakhirat kelak. Saya bukanlah seorang ahli ugama, namun setakat mengetahui sedikit hukum ugama bolehlah, dan ingin memperkatakan soal ibadat pun rasanya saya tidak layak kerana jika dilihat dari segi menunaikan ibadat kepada Tuhan pun masih banyak lagi hutang dengan Maha Pencipta. Berbalik kepada persoalan hubungan sesama insan, sebilangan daripada kita sering meremehkan hubungan sesama insan. Sebilangannya lebih suka kepada permusuhan daripada berbaik sesama insan.
Saya akui, saya seorang yang berjiwa sensitif dan mudah emosi. Waktu zaman bujang, saya memang terkenal dengan panas baran dan juga pemarah. Dan dimana kadang - kadang apabila saya marah kepda seseorang saya tidak akan bertegur sampai bila - bila, dan Alhamdulillah kini selepas mendirikan rumahtangga dan mungkin belajar melalui dari banyak membaca buku - buku ugama saya dapat berubah sedikit - sedikit. Kita mungkin alfa dan terlupa bahawa sikap ingin menang membuatkan kita sanggup untuk berlaku keterlaluan pada orang lain. Ini sering saya dengar dan lihat, jarang sekali ada orang yang mahu mengalah apabila berlaku selisih faham. Dan masing - masing ingin menampakkan sikap mereka yang ingin menang, dan selepas itu berlaku tuduh menuduh dan serta berlaku persengketaan dan akhirnya mereka putus hubungan. Pada hal jika dipandang hal itu dapat diselesaikan dengan cara permuzakarahan dan perbincangan, namun kerana kedegilan dan tidak ada sifat mahu mengalah akhirnya terjadi persengketaan dan tidak bertegur sapa. Dalam ugama jika kita tidak bertegur selama tiga hari berturut - turut kita akan mendapat dosa dan apa tah lagi dengan menyebarkan cerita - cerita keburukan mengenai orang yang dibenci, ianya adalah satu dosa besar. Namun bagi sebilangan manusia mereka tidak pernah ambil kisah asalkan hati puas.
Kita juga sering terlupa jika setiap hari bersempuh duduk mengerjakan sembahyang dan berzikir memuji Tuhan setiap hari pernah kita tanya pada diri kita apakah syurga sudah menunggu kita diakhirat kelak hanya kerna kita taat menunaikan perintah Allah SWT? Dosa yang kita lakukan pada Tuhan akan diampunkan oleh Tuhan andainya kita memohon ampun dan bertaubat kepadanya, namun pernahkah kita terfikir bahawa dosa kita menyakiti hati orang lain jika orang itu tidak mengampunkan kita, kita akan masuk neraka? Inilah persoalan yang sering kita terlupa....
Kerana itulah saya sering mengingatkan pada diri saya dan jga isteri saya, bahawa jangan sesekali kita menyakiti hari orang lain, kerana jika orang itu tidak dapat mengampunkan kita maka diakhirat esuk, perjalanan kita untuk syurga pastinya akan tertangguh sehinggalah orang yang kita sakiti itu mengampunkan kita. Namun pernahkah kita terfikir apabila diakhirat kelak dimanakah tempat kita mencari orang yang telah kita sakiti itu semata - mata untuk memohonkan keampunan? Jadi kita fikirlah bersama, kita hidup hanya sekali, dan jika kita inginkan sesuatu yang terbaik pada hari perkiraan dipadang mahsyar, jalinkanlah hubungan yang baik sesama insan, memang terlalu susah untuk kita menerima apa yang telah dilakukan kepada kita namun kita juga mengharapkan balasan dan ganjaran dari Tuhan diakhirat kelak.
Jadi fikir-fikirkanlah dan renung - renungkanlah. Apa yang saya tuliskan ini bukaqnlah berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa, andainya pembaca tersinggung, saya memohon ampun dan kemaafan. Namun realitinya apa yang saya tulis adalah sebagai peringatan kepada diri saya agar tidak terlalu mengambil mudah segala hukum yang Tuhan telah berikan itu.
Sekian.......
0 ulasan:
Catat Ulasan