Aku melayari internet pagi ini, dan seperti biasa aku sering membaca akbar- akbar online dari negara jiran. Namun aku tertarik pada satu artikel ini, yang mana apabila aku fikir-fikirkan kenapalah mereka tidak pernah bersyukur dengan kejadian yang diberikan oleh Tuhan kepada dirinya. Saya ingin berkongsi maklumat ini dengan awda semua, dan semoga dengan apa yang awda baca ini akan dapat memberikan keinsafan kepada kita semua.
Ikutilah cerita selanjutnya...........
Dilema tukar jantina
Sesiapa yang mahu menukar jantina mesti hidup sebagai ‘wanita’ sekurang-kurangnya selama setahun, mengambil kursus mengenai hormon wanita dan mendapatkan kelulusan daripada dua pakar psikiatri.
PUNLOP TONGCHAI tersenyum puas di katil hospital selepas berjaya menjalani pembedahan tukar jantina di Poliklinik Pratunam, Bangkok.
AKHIRNYA selepas dua jam menjalani pembedahan, penantian Punlop Thongchai untuk merealisasikan impiannya sewaktu kecil tercapai jua.
Kini, dia sudah boleh digelar wanita 'sejati' apabila pembedahan menukar jantina yang dilakukan di sebuah klinik di Bangkok berjalan lancar.
Penari kabaret berusia 27 tahun itu sempat bersembang dengan jururawat sepanjang menjalani pembedahan yang hanya melibatkan pemberian ubat pelali di bahagian alat sulitnya sahaja.
Membesar di Thailand, iaitu salah sebuah daripada negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia dalam kes transgender serta mempunyai teknik pantas mengubah jantina, semangat Punlop sentiasa berkobar-kobar. Dengan kos serendah AS$2,000 (RM6,743), Punlop kini bergelar wanita.
Bagaimanapun, keputusan kerajaan mengetatkan prosedur menukar jantina seperti membuktikan keadaan psikologi individu tersebut kuat ke arah wanita sebelum dibenarkan berbuat demikian menyukarkan individu seperti Punlop.
Ini kerana baru-baru ini, kerajaan memutuskan sesiapa yang mahu menukar jantina di Thailand mesti hidup sebagai wanita sekurang-kurangnya selama setahun, mengambil kursus mengenai hormon wanita dan mendapatkan kelulusan daripada dua pakar psikiatri.
Namun, Punlop menegaskan permintaan itu amat melampau dan terlalu sukar untuk dipenuhi.
"Sebenarnya ia tidak perlu. Saya benar-benar tidak mahu melalui proses tersebut, jadi saya membuat keputusan untuk menjalani pembedahan sebelum undang-undang ini dikuatkuasakan," katanya kepada AFP sebelum melakukan pembedahan pada awal November lalu.
Perubahan jantina diharamkan sepenuhnya di Thailand sebelum seseorang itu berusia 18 tahun dan bagi lelaki, mereka mestilah berusia di antara 18 hingga 20 tahun, selain mendapat persetujuan daripada ibu bapa.
Aktivis gay Thailand, Nathee Teerarojanapong berkata, perlindungan undang-undang secara sah amat penting untuk mengawal kes pertukaran jantina secara meluas di mana kemudian hari ia sering kali dikesali oleh mereka yang terlibat.
"Saya mendapat banyak panggilan di mana mereka mengakui kesilapan yang dilakukan kerana menjalani pembedahan menukar jantina.
"Ia satu kesilapan besar dan mereka mahu kembali seperti sediakala tetapi perkara ini sudah tidak boleh diubah. Mustahil untuk mereka kembali menjadi lelaki sejati," tegasnya.
PAKAR bedah Thep Vedusit (tengah) sedang melakukan pembedahan menukar jantina ke atas Punlop Tongchai.
Sama seperti kesan psikologi terhadap perubahan jantina dan pemulihan selepas pembedahan, terdapat juga kesan sampingan daripada hormon yang harus diambil untuk mempercepatkan proses transformasi daripada lelaki kepada wanita. Ini termasuklah berpeluh pada waktu malam, keletihan, kenaikan berat badan, kehilangan otot lelaki dan libido.
Sehari sebelum pembedahan, Punlop memberitahu bahawa ketika masih kecil, dia gemar memakai pakaian wanita berbanding pakaian tradisional lelaki.
Justeru, menjelang usia 19 tahun, dia sudah mula mengambil pil hormon wanita dalam usaha untuk mengubah bentuk fizikal badannya.
"Saya tidak suka 'bahagian tubuh' ini kerana saya tidak menggunakannya," kata Punlop sambil menunjukkan ke arah kemaluannya.
"Saya sendiri tidak tahu mengapa saya memilikinya. Jika saya mempunyai vagina, sudah tentu saya akan menggunakannya,"tambahnya.
Untuk mencapai impiannya, Punlop bertemu dengan Dr. Thep Vedusit, seorang pakar bedah di Bangkok yang mampu mengendalikan pembedahan pantas mengubah jantina tanpa penggunaan ubat bius yang biasa. Bagaimanapun, Thep percaya peraturan baru yang akan digubal boleh menjadi penghalang utama untuk seseorang menukar jantina.
Ujar Thep, dia telah menjalankan lebih daripada 500 pembedahan perubahan jantina dan setiap minggu, dia mempunyai dua atau tiga kes. Separuh daripada jumlah itu terdiri daripada pelancong asing yang datang untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan undang-undang Thailand berhubung isu tersebut.
"Saya fikir pakar bedah boleh membuat keputusan siapakah transeksual. Setiap daripada mereka sudah mempunyai tekad yang tinggi untuk melakukan pembedahan dan saya tidak fikir pakar psikiatri memberi apa-apa faedah kepada mereka," ujar Thep.
Pada hari pembedahan, Punlop berjalan masuk ke sebuah klinik yang terletak di sebatang jalan yang sibuk di Bangkok.
PUNLOP Tongchai meninggalkan Poliklinik Pratunam di Bangkok selepas membuat temujanji untuk pembedahan tukar jantina.
Tanpa sebarang solekan, Punlop yang berpakaian ringkas dengan dres tanpa lengan paras lutut, baju panas dan sandal diiringi masuk ke bilik pembedahan yang kecil dan suram. Dindingnya ditampal dengan helaian keratan akhbar mengenai bintang kabaret transeksual.
Thep mengambil satu jam lebih untuk 'membentuk' vagina menggunakan kulit organ genital lelaki miliknya. Punlop dibenarkan keluar pada hari yang sama selepas pembedahan dan dalam masa empat minggu, Thep telah menyempurnakan semua rawatan susulan yang ditetapkan ke atas Punlop.
"Ia tidak terlalu sakit. Saya boleh mengatasinya. Bagaimana perasaan saya sekarang? Sudah tentu saya amat gembira. Sepanjang hidup saya, inilah perubahan yang diinginkan. Ia impian saya sejak kecil lagi," kata Punlop. (Petikan dari Akbar KOSMO MALAYSIA)
Apa sudah jadi dengan mereka? Inilah yang dikatakan sebagai hidup yang tidak ada pegangan ugama, maka akan jadilah seperti mereka itu. Mereka tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah diberikan kepada mereka. Apa sudah jadi..... Nampaknya inilah yang dikatakan sebagai Dunia Akhir Zaman. Fikir-fikirkanlah.......
0 ulasan:
Catat Ulasan